Definition List

Pengenalan Harta Pusaka

Dalam Islam terdapat suatu kaedah pembahagian harta pusaka yang dinamakan dengan faraid sebagaimana yang diputuskan di dalam Al-Quran. Ia diperoleh daripada seseorang yang meninggal dunia dan meninggalkan waris yang layak menerima harta pusaka mengikut Hukum Syarak setelah diuruskan jenazah si mati, dibayar hutang piutangnya dan dilaksanakan wasiatnya (sekiranya ada).
Ia dibahagikan mengikut kadar yang telah ditetapkan ataupun secara permuafakatan.
Pembahagian tersebut tertakluk kepada sebab dan syarat-syarat tertentu dan tiada yang menghalang ahli waris daripada menerima harta pusaka.
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: 
"Allah perintahkan kamu (mengenai pembahagian harta pusaka) untuk anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah seperdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: seperenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya ialah ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah sepertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah seperenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayar hutangnya. Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu. (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana."
(Surah Al-Nisa: 11)


"Dan bagi kamu (suami) satu perdua dari harta yang ditinggalkan isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak, jika isteri kamu mempunyai anak maka kamu mendapat satu perempat daripada harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat dan sesudah dibayar hutangnya. Dan bagi mereka pula (isteri) memperoleh seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak, jika mempunyai anak, maka isteri memperoleh satu perlapan daripada harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat dan sesudah dibayar hutangnya. Jika seseorang mati baik lelaki atau perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak meninggalkan anak tetapi mempunyai seorang saudara lelaki seibu atau saudara perempuan seibu, maka bagi masing-masing ialah satu perenam harta. Tetapi jika saudara seibu itu lebih daripada seorang maka mereka bersekutu dalam sepertiga, sesudah dipenuhi wasiat dibuatnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudarat kepada ahli waris. Allah menetapkan yang sedemikian itu sebagai syariat yang benar dari Allah."
(Surah Al-Nisa': 12)

"Mereka meminta fatwa kepadamu (tentang kalalah). Katakanlah, Allah memberi fatwa kepadamu tentang kalalah (iaitu): jika seorang meninggal dunia, dan ia tidak mempunyai anak dan mempunyai saudara perempuan, maka bagi saudaranya yang perempuan itu seperdua dari harta yang ditinggalkannya, dan saudaranya yang lelaki mewarisi (seluruh harta saudara perempuan), jika dia tidak mempunyai anak. Tetapi jika saudara perempuan itu dua orang, maka bagi keduanya dua pertiga dari harta yang ditinggalkan. Dan jika mereka (ahli waris itu terdiri dari) saudara laki-laki dan perempuan, maka bahagian seorang saudara lelaki sebanyak bahagian dua orang saudara perempuan. Allah menerangkan (hukum ini) kepadamu, supaya kamu tidak sesat. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu."
(Surah Al-Nisa': 176)

Walau bagaimanapun hak faraid seseorang boleh gugur apabila ahli waris itu membunuh. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud: "Tidak mewarisi orang yang membunuh itu sesuatu".

Dalam beberapa hadis yang lain pula daripada Ibnu ‘Abbas r.a. berkata: Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Berikan bahagian warisan yang ditentukan kepada pemiliknya. Adapun sisanya maka bagi pewaris lelaki yang paling dekat nasabnya."

Daripada Ibnu Mas'ud pada menyatakan hukum berkenaan anak perempuan, cucu perempuan daripada anak lelaki dan saudara perempuan (seibu sebapa atau sebapa) "Maka telah menghukumkan Rasulullah S.A.W. bagi anak perempuan 1/2 dan bagi cucu perempuan daripada anak lelaki 1/6 mencukupkan 2/3 dan bakinya bagi saudara perempuan."
(Hadis riwayat Imam Bukhari)

Manakala daripada Ibnu Buraidah daripada bapanya: "Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. memberikan kepada nenek 1/6 apabila (si mati) tidak mempunyai ibu."
(Hadis riwayat Abu Daud dan Nasa'ie)

Hak faraid juga boleh gugur dalam keadaan di mana waris si mati berlainan agama sebagaimana hadis daripada Usamah bin Zaid, sesungguhnya Rasulullah S.A.W. bersabda: "Orang Islam tidak mewarisi orang kafir dan orang kafir tidak mewarisi orang Islam."

Laman Facebook

Recent Posts

Recent Posts Widget

Total Pageviews

Categories

Text Widget

Unordered List

Almari Buku Hartanah

Wasiyyah Shoppe

Hubungi Kami

Ros Shila
+6013-4804 906
| Professional Mawarith at Wasiyyah Shoppe Berhad |
| Financial Advisor | Property Advisor | Hamba Allah |
| Motivator |

Copyright © Bijak Urus & Rancang Kewangan Secara Islamik | Powered by Blogger Design by PWT | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com